PUTERA Harry dan Meghan Markle dilaporkan akan melepaskan rumah persinggahan mereka di Cotswolds, England kerana berdepan kesukaran untuk membiayai dua hartanah ketika ini. Duke dan Duchess of Sussex itu akan meninggalkan rumah ladang mereka setahun lebih awal berikutan kos pengubahsuaian yang tinggi untuk rumah baharu di Windsor. Pasangan itu membuat pajakan selama dua tahun bagi rumah ladang yang bernilai £2.5 juta (RM13.2 juta) di kawasan desa Inggeris, sejurus sebelum perkahwinan mereka. Mereka dikatakan menghabiskan masa di sana kerana memberi peluang untuk menjalani kehidupan di luar Istana Kesington. Akhir tahun lalu, Harry dan Meghan mengumumkan untuk meninggalkan London dan berpindah ke estet Windsor. Ia kini dalam pengubahsuaian besar menjelang kelahiran cahaya mata mereka pada April ini. Pasangan itu dijangka mengekalkan kedua-dua kediaman itu, namun Daily Mail melaporkan bahawa mereka akan membatalkan pajakan itu dan berpindah keluar tidak lama lagi. - Metro UK