suria

Gara-gara salah pilih minyak enjin, pemilik Maserati tewas kes tuntutan ganti rugi kerosakan

Jiawen Tang tewas dalam tuntutan mendapatkan bayaran ganti rugi ke atas kereta Maserati Ghibli miliknya yang rosak. - Gambar hiasan/Bloomberg

PEMILIK kereta mewah jenama Maserati yang rosak terpaksa menanggung kerugian ribuan dolar setelah tewas dalam tuntutan mendapatkan bayaran balik gara-gara menggunakan jenis minyak enjin yang salah.

Syarikat Auckland C & P Beauty Services membeli kereta Maserati Ghibli dengan nilai $ 87,400 (RM359,432) pada April 2017.

Jumlah perjalanan kenderaan itu cuma 9000 kilometer pada ketika itu.

Bagaimanapun, bahagian enjin kereta tersebut rosak 10 bulan kemudian.

Pengarah syarikat tersebut, Jiawen Tang membawa kes penjual kereta itu, NZ Motor Sport Imports yang berpangkalan di Penrose, New Zealand kepada Tribunal Pertikaian Kenderaan Bermotor dan mengatakan bahawa kereta itu tidak berkualiti serta tidak sesuai digunakan.

Kes itu didengar oleh peguam Brett Carter dalam tiga siri perbicaraan pada akhir 2018.

Tang berkata enjin kereta itu mula berasap kira-kira sebulan selepas pembelian dibuat.

Pihak Maserati memeriksa kereta tersebut sebanyak dua kali, namun tidak menemui sebarang kerosakan.

Pada Januari 2018, kenderaan itu diservis oleh GT Auto Source di Newmarket, dan menambah bekalan minyak jenis Fuchs 5W / 30.

Bulan seterusnya, kereta itu mula bergegar dan menghasiklan bunyi pelik di bahagian enjin.

Kereta itu kemudiannya dibawa ke Winger Maserati dan menemukan beberapa kerosakan pada bahagian enjin yang disebabkan oleh haba berlebihan.

Haba itu berpunca daripada penggunaan minyak pelincir yang salah.

Seorang penilai untuk tribunal itu berkata, enjin tersebut perlu dibaik pulih dan akan menelan kos yang tinggi.

Namun, Peter McPhail dari NZ Motor Sport Imports berkata, kereta tersebut bebas kerosakan ketika ia dijual dan apa yang berlaku adalah disebabkan oleh penggunaan minyak yang salah. - Stuff NZ

Maserati

Artikel Lain