suria

Satu rumah penuh tahi! Penyiasat terkejut wanita & dua remaja tinggal di rumah bau hancing, sampah berlonggok

SEORANG wanita tinggal di sebuah rumah kotor yang dipenuhi najis binatang peliharaan bersama dua remaja.

Lee Stump, 42, ditahan pada Selasa selepas penyiasat Jabatan Kanak-kanak dan Keluarga mendapati keadaan rumahnya yang menjijikkan, di mana seorang remaja lelaki dan perempuan turut tinggal di situ.

Remaja lelaki berusia 13 tahun itu telah dipindahkan dari rumah Stump di Ocala, Florida dan diletakkan di bawah jagaan Perkhidmatan Kanak-Kanak.

Stump berkata seorang gadis berusia 15 tahun juga tinggal di rumah tersebut, tetapi pada masa ini dia tinggal di sebuah rumah di DeLand.

Sebaik sahaja penyiasat membuka pintu rumah, bau hancing dan najis yang kuat menusuk hidung mereka, sebelum mereka melihat tahi bersepah di seluruh lantai, menurut Pejabat Sheriff Marion County.

Mereka berkata lalat dan serangga lain berterbangan di dalam rumah itu yang turut dipenuhi dengan sampah.

Pakaian kotor ditimbun pada perabot di ruang tamu yang juga penuh dengan najis, menurut penyiasat.

Bilik mandi dan tandas juga tidak berfungsi dan Stump berkata dia terpaksa mendidihkan air apabila dua remaja itu mahu mandi.

Penyiasat berkata remaja lelaki itu kotor dan tidak memakai kasut.

Di dalam rumah tersebut terdapat beberapa ekor anjing dan kucing. Sebuah sangkar arnab berada di ruang tamu yang mana kesemuanya telah dikeluarkan oleh Perkhidmatan Haiwan Marion County.

Stump memberitahu penyiasat bahawa dia cacat, yang menyebabkan dia tidak dapat membersihkan rumah.

Tidak jelas apa hubungan Stump dengan dua remaja itu.

Bagaimanapun penyiasat menyatakan dia keluar dari rumah dan masuk ke bahagian belakang kereta peronda tanpa bantuan. -MetroUK

najis, haiwan, kotor

Artikel Lain