JIKA seseorang berikan tisu terpakai, apa reaksi awal anda? Mungkin juga anda melenting kerana tindakan menjengkelkan itu, betul? Tetapi, apa kata jika realitinya ada sebuah syarikat menjual tisu terpakai dan harganya pula mencecah ribuan. Sebuah syarikat berpangkalan di Copenhagen yang dikenali sebagai Vaev menjual tisu terpakai iaitu bekas bersin. Lebih mengejutkan apabila ia dijual pada harga AS$79.99 (RM330.40). Falsafah di sebalik produk pelik ini menurut syarikat berkenaan adalah pemiliknya boleh jatuh sakit apabila menggunakannya. Pengasas Vaev, Oliver Niessen berkata, syarikatnya menggunakan 10 individu untuk bersin bagi membentuk produk aneh itu dan tugas mereka adalah untuk bersin pada tisu berkenaan. Menurut laman web syarikat itu: "Kami percaya dengan menggunakan tisu yang berbekas bersin manusia lebih selamat berbanding mengambil ubat-ubatan. Ia bukan seperti tisu biasa yang digunakan sebelum ini, kami sukakannya dan begitu juga anda." Tidak seperti tisu biasa yang selalunya dibuang ke dalam tong sampah, produk ini berbeza sekali. Setakat ini, tidak ramai yang yakin dengan produk ini, malahan ada yang menggunakan Twitter untuk berkongsi rasa jengkel mereka mengenainya.-IndiaToday