suria

Putera Philip akhirnya minta maaf, harap mangsa kemalangan segera sembuh

Putera Philip.

PUTERA Philip akhirnya meminta maaf kepada seorang wanita yang cedera semasa terlibat dalam kemalangan dengannya pada 17 Januari lalu.

Emma Fairweather, 46, mengalami kecederaan ketika kereta dinaikinya dirempuh kenderaan pacuan empat roda milik Putera Philip dekat Sandringham.

Kereta Emma dipandu rakannya, Ellie Townsend, 28, semasa kemalangan itu berlaku.

Anak lelaki Ellie yang berusia sembilan bulan turut berada di dalam kereta tersebut.

Meskipun Putera Philip mahupun Ellie dan anak lelakinya tidak mengalami sebarang kecederaan, Emma terpaksa berehat selama dua bulan akibat kecederaan di pergelangan tangan.

Putera Philip dikecam teruk selepas kemalangan itu kerana tidak memohon maaf kepada mangsa.

Namun beliau sudah menandatangani surat permohonan maaf yang telah dihantar kepada Emma.

Emma Fairweather.

Menurut Sunday Mirror yang melihat kandungan surat itu, Putera Philip, 97, mendoakan agar Emma segera sembuh.

Malah, Putera Philip turut memohon maaf kerana menjadi punca kemalangan itu dengan berkata dia tidak dapat melihat dengan jelas kenderaan yang datang.

Surat tersebut dipercayai sudah dihantar ke kediaman Emma di Lynn, Norfolk.

Emma dilaporkan terkejut sebaik menerima surat tersebut.

"Ketika saya membuka surat itu saya ternampak kepala surat Sandringham House dan saya kata Oh Tuhanku!.

"Dia bertanya mengenai keadaan saya dan meminta maaf di atas kecederaan yang saya alami.

"Saya fikir tindakannya menggunakan nama Philip adalah satu amalan mulia. Saya amat terkejut," kata Emma.

Istana Buckingham mengesahkan surat tersebut sebagai tulen tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya. - Metro.co.uk

Putera Philip

Artikel Lain