suria

Pengasas meninggal bersama 'password', firma kriptowang terbesar hilang akses kepada dana RM800 juta

-foto Getty

PUSAT pertukaran kriptowang Kanada, QuadrigaCX mungkin berdepan masalah besar selepas pengasasnya, Gerald Cotten, tiba-tiba meninggal dunia ketika dia menjadi satu-satunya individu yang memegang kata laluan penting untuk urusan tersebut.

Ini menyebabkan isterinya tidak dapat mengakses dana pelanggan sebanyak £145 juta (RM800 juta), dakwa firma itu.

Kata laluan kriptowang dianggap sejenis mata wang yang terlalu selamat, tidak boleh diset semula melalui emel dan Cotten adalah satu-satunya orang yang mengetahui kata laluan kepada dana pertukaran itu.

Ia berbentuk simpanan luar talian (cold storage) yang mengandungi kebanyakan kriptowang dan maklumat mengenai wang tunai para pelanggan mereka.

Ia tidak terhubung dengan internet dan digunakan untuk melindungi dana pengguna daripada penggodam.

Firma itu, yang menjadi pertukaran kriptowang terbesar Kanada, juga berdepan isu perbankan yang tidak berkaitan dan berkata pihaknya telah memohon perlindungan pemiutang kerana ia mahu mencari jalan untuk menangani ‘isu kewangan yang penting’.

Isteri Cotten, Jennifer Robertson, telah memfailkan perlindungan pemiutang, menyatakan bahawa firma itu tidak dapat mengakses wang dalam ‘cold storage’, lapor Coindesk.

‘Cold storage’, bagi yang belum tahu, merujuk kepada penyimpanan luar talian yang digunakan untuk menyimpan sejumlah besar mata wang kripto.

Firma pertukaran itu mengumumkan ketiadaan Cotten dengan menyatakan bahawa dia telah meninggal dunia, 'disebabkan oleh komplikasi penyakit Crohn pada 9 Disember 2018 semasa berada di India, di mana dia membuka sebuah rumah anak yatim bagi menyediakan kemudahan tempat tinggal dan perlindungan yang selamat untuk kanak-kanak yang memerlukan.

Robertson berkata walaupun dia mempunyai komputer riba Cotten, ia telah disulitkan dan dia tidak mempunyai kata laluan.

Dia menulis: “Inventori kriptowang Quadriga tidak dapat diakses dan sebahagian daripadanya mungkin hilang.”

Seorang pelanggan QuadrigaCX dari Calgary, Kanada, Elvis Cavalic mengaku bimbang menggunakan kriptowang kerana ia tidak dapat menarik dananya sebesar AS$15,000 (RM61,400).

”Saya mungkin akan menghindari kriptowang pada masa depan. Mereka meninggalkan kita tanpa kepastian. Saya sudah mempersiapkan diri untuk hal terburuk," ujarnya.

Kata laluan yang disulitkan mungkin sangat selamat, tetapi mungkin ini dapat memberikan pengajaran untuk menyimpan maklumat sokongan tersebut bimbang malang mengundang dan tidak menyusahkan orang lain.

Firma ini mempunyai 115,000 pengguna. -MetroUK

Artikel Lain