SEORANG pelajar universiti North Carolina mati-mati menyangka pangsapurinya berhantu selepas banyak barangnya hilang. Tetapi alangkah terkejutnya apabila dia mendapati seorang lelaki menyeramkan berada di dalam almari dan memakai pakaiannya. Pelajar perempuan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Maddie, menganggap apartmen kampus yang dikongsi bersama seorang rakan itu berhantu apabila pakaiannya mula hilang dan kesan tapak tangan aneh mula muncul di bahagian cermin dan dinding. Bagaimanapun, pada Sabtu, barulah dia tahu bahawa sangkaannya tentang hantu itu salah, tetapi ia tetap menakutkan kerana rupa-rupanya seorang lelaki asing bersembunyi di dalam almari dan memakai pakaiannya. ”Saya hanya dengar bunyi dalam almari saya. Bunyi macam ada tikus di dalamnya,” kata Maddie kepada Fox8. ”Saya tanya ‘siapa di dalam’ dan ada yang menjawab. Dia kata 'oh, nama saya Drew.' Saya buka pintu dan nampak dia di dalam, memakai semua pakaian saya. Stokin, kasut saya dan dia ada sebuah beg buku penuh dengan pakaian saya.” Pelajar universiti di Greensboro yang terkejut itu bagaimanapun berjaya menenangkan dirinya dan segera menelefon teman lelakinya. Pada masa yang sama, dia cuba berborak dengan lelaki menyeramkan itu untuk mengalihkan perhatiannya dan melengah-lengahkan masa. Menariknya, lelaki itu nampak lebih senang berborak. ”Dia mencuba topi saya. Dia pergi ke bilik mandi dan tengok cermin, kemudian dia kata 'kamu benar-benar cantik, bolehkah saya peluk kamu?” imbas Maddie. ”Tetapi dia langsung tak menyentuh saya.” Apabila teman lelaki Maddie tiba di apartmennya, dia menyuruh tetamu tidak diundang itu meninggalkan rumahnya dan menghubungi polis. ‘Hantu almari’ itu kemudian ditangkap berhampiran bangunan apartmen yang sama dan dikenali sebagai Andrew Swofford, 30. Pada Isnin, dia dipenjarakan di Guilford County di bawah bon AS$26,000, dengan 14 pertuduhan. Maddie berkata dia bernasib baik bertemu Drew di dalam almari ketika mahu mengambil beberapa barang pada waktu tengah hari, waktu yang mungkin tidak dijangka oleh lelaki itu. Walau bagaimanapun, pelajar itu mahupun polis tidak dapat menjelaskan bagaimana dia dapat masuk ke dalam apartmen, kerana pintunya sentiasa terkunci dan tidak ada tanda-tanda kemasukan secara paksa. Syarikat pengurusan hartanah yang bertanggungjawab ke atas bangunan apartmen juga cuba memikirkan bagaimana sesuatu seperti ini boleh berlaku. Apa yang pasti, ini kali kedua Maddie mendapati orang yang tidak dikenali berada di apartmennya dalam tempoh sebulan lebih. Pada Disember lalu, dia pulang ke rumah dan mendapati dua lelaki tidak dikenali di ruang tamu. Dia memaklumkan pejabat pihak berkuasa mengenai perkara itu dan mereka menukar kunci di pintu depan, tetapi tidak memberitahu polis tentang kejadian itu. Walaupun akhirnya misteri hantu almari itu selesai, Maddie berkata dia tidak lagi berasa selamat tinggal di apartmen tersebut. “Malam tadi saya rasa tak selamat. Saya tidur dengan rakan sebilik saya di atas katilnya,” kata pelajar muda itu. “Saya tidak boleh tinggal di sini. Almari saya, ia berbau. Setiap kali saya masuk (bilik) ada aura yang buruk. Saya dah sedia untuk pindah.” -FOX8