SATU pasangan yang baru berkahwin melakar sejarah kerana mencatatkan tempoh perkahwinan terpendek di negaranya. Mereka memutuskan untuk berpisah hanya tiga minit selepas berkahwin. Bulan lalu, media Kuwait melaporkan kes pelik pasangan berkenaan yang menamatkan perkahwinan mereka sebelum meninggalkan kamar mahkamah tempat mereka disatukan sebagai pasangan suami isteri yang sah. Mereka baru saja menandatangani kontrak perkahwinan di depan seorang hakim dan ketika berjalan keluar dari mahkamah, pengantin perempuan secara tidak sengaja tersandung. Bagaimanapun, pengantin lelaki itu dilaporkan tidak membantu isterinya sebaliknya memaki wanita itu dengan dengan memanggilnya 'bodoh' kerana tergelincir. Tindakan itu dilihat amat keterlaluan oleh wanita itu, jadi dia berpatah balik dan meminta hakim membubarkan perkahwinan mereka di tempat kejadian. Mereka hanya sempat berkahwin selama tiga minit. Menurut Q8 News, ini adalah perceraian terpantas dalam sejarah Kuwait dan mungkin di seluruh dunia. Sebelum ini, pasangan di Dubai bercerai 15 minit selepas berkahwin. Berita mengenai rekod perceraian terpantas ini menjadi tular di Twitter minggu lalu, dengan kebanyakan netizen bergurau dan mengecam pasangan itu kerana membuang masa hakim. Bagaimanapun, ada yang menyebelahi pengantin perempuan, menyatakan bahawa dia membuat satu keputusan yang betul. Mereka berpandangan sekiranya pengantin lelaki itu tergamak menghina isterinya di awal perkahwinan mereka, dia mungkin akan bertindak lebih teruk pada masa akan datang. "Perkahwinan yang tiada rasa hormat, adalah satu kegagalan dari awal," tulis seorang pengguna Twitter. Ada juga yang mengesyaki pengantin perempuan itu hanya mencari alasan cepat bercerai. Menurut artikel di Arab Times, pinjaman dan bantuan kewangan yang diberikan oleh negara kepada pasangan yang baru berkahwin telah menyebabkan kadar perceraian di negara Timur Tengah ini melonjak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ramai anak muda berkahwin hanya untuk mendapat manfaat daripada insentif negara dan kemudian dengan cepat memfailkan perceraian. -Oddity