suria

Gambar orang mati disalah guna untuk aplikasi 'dating'

Sam Standerwick meninggal dunia pada 2016, tetapi gambarnya disalah guna sebagai profil aplikasi mencari teman. Foto Western Mail

SEBUAH keluarga mendedahkan gambar anak lelaki mereka disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, sebagai gambar profil di media sosial dan aplikasi mencari teman.

Sam Standerwick meninggal dunia pada 2016 semasa berusia 26 tahun kerana masalah jantung.

Kakaknya, Amy dikejutkan dengan penemuan gambar-gambar Sam yang sudah meninggal dunia, di aplikasi mencari teman Plenty of Fish, Tinder dan Bumble.

North Wales Live melaporkan bahawa keluarganya bimbang gadis-gadis di luar sana yang akan terpedaya dengan tipu helah mereka yang menyalahgunakan gambar Sam.

Amy turut menemui akaun Instagram palsu yang menggunakan gambar-gambar yang dimuat turun daripada akaun Instagram dan Facebook milik Sam.

"Perkara yang sama berlaku setahun yang lalu, mereka menggunakan nama sama Ben Jones, individu ini juga dikatakan bekerja dalam CCTV, kerja yang dilakukan adik saya. Jadi, mereka curi kerjayanya.

"Tahun lalu saya dapat membuatkan semua profilnya di laman-laman web telah diturunkan, tetapi tidak menyangka perkara tersebut berlaku lagi, dan nama yang sama muncul kembali," tambahnya.

Bapa Sam, Adrian Standerwick berkata: "Kami sekeluarga amat kesal dengan apa yang berlaku. Dalam beberapa hari lagi genap 26 bulan pemergian Sam.

"Sesiapa pun yang melakukan perkara ini mempunyai niat jahat. 

"Siapa tahu dia boleh menipu gadis-gadis dengan melakukan pelbagai perkara malah dia boleh bertindak ganas," katanya. - Mirror UK

Artikel Lain