SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dirogol kemudian dibunuh dan kulitnya disiat-siat gara-gara ibunya menolak cinta seorang lelaki. Sebelum itu, pemuda berusia 27 tahun itu dilaporkan ada pergi ke rumah ibu mangsa di bandar Khopoli, Maharashtra, India. Superintendan polis, Anil Paraskar memberitahu apabila ibu kanak-kanak itu menolak cintanya dihadapan orang ramai, pemuda itu berniat untuk membalas dendam. Selepas membawa kanak-kanak itu ke rumahnya, suspek dipercayai merogol mangsa sebelum membunuhnya. Suspek kemudian memenggal kepala mangsa dan membuangnya kira-kira 300 meter di belakang rumahnya. Suspek turut didakwa menyiat kulit kepala mangsa supaya pihak berkuasa tidak mengenal pasti mayat tersebut. Sumber polis memberitahu The Times of India:"Pada Selasa kira-kira pukul 8.30 pagi, budak perempuan itu pergi ke rumah suspek. "Namun lelaki itu menghantarnya pulang ke rumah ibunya tetapi ibunya memarahi suspek di khalayak ramai. "Susulan itu suspek berniat mahu membalas dendam. Apabila ibu mangsa sibuk di rumahnya, suspek menutup mulut mangsa dan membawanya ke rumah sebelum merogol dan membunuh mangsa," katanya. Apabila menyedari kehilangan anak perempuannya, wanita tersebut melakukan pencarian bersama seorang rakannya. Dia kemudian membuat laporan polis dan mayat kanak-kanak itu ditemui tidak lama kemudian. Mayat mangsa turut ditemui dengan kesan terbakar. Sebilah pisau yang dipenuhi kesan darah turut dijumpai di rumah suspek. Menurut laporan media tempatan, suspek mengaku bersalah semasa disoal siasat polis. - Mirror.co.uk