suria

'Penipuan manis'! Beli dadah tapi dapat gula perang, wanita buat laporan polis

Gambar hiasan. - Getty Images

TIDAK ada siapa pun di dunia ini yang suka dirinya ditipu.

Tetapi polis masih terkejut apabila seorang wanita membuat panggilan untuk melaporkan bahawa penjual dadah yang berurusan dengannya telah menjual gula perang kepadanya, bukan kokain seperti yang dipesan.

Dia memberitahu pegawai-pegawai di Craigavon, Ireland Utara, bahawa dia telah membayar sebanyak £200 untuk pembelian tersebut dan hanya menyedari dirinya ditipu selepas itu.

“Kami telah menyatakannya sebelum ini dan kami akan menyatakannya sekali lagi - pengedar dadah tak peduli apa berlaku asalkan mereka dapat duit poket mereka sendiri,” polis Craigavon membuat posting pada halaman Facebook mereka.

“Tidak mengejutkan sesiapa yang mengedar dadah itu adalah penipu!.”

Mereka kemudian menambah bahawa sesiapa yang telah ditipu oleh penjual dadah mereka dan ingin membuat aduan harus menghubungi Crimestoppers atau 101.

“Penjual dadah yang tidak jujur. Apa nak jadi dengan dunia?!” polis menamatkan posting tersebut.

Posting itu mendapat banyak komen daripada pengguna Facebook yang nampaknya sangat tertarik dengan ‘penipuan manis’ itu.

“Siapa peniaga mereka tu, Mary Poppins?” tanya seseorang.

Sementara yang lain bergurau: “Tidak ada yang dapat kalahkan ‘khayal’ gula.”

“£200 untuk sedikit gula. Itulah tawaran yang tidak boleh dihidu,” kata seorang lagi.

Jurucakap PSNI berkata: “Polis telah bercakap dengan seorang wanita berhubung perkara ini. Nasihat dan bimbingan yang sesuai diberikan.” - MetroUK

Artikel Lain