PEMEGANG amanah pengemis wanita tua di Ajmer, yang meninggal dunia pada Ogos tahun lalu telah memenuhi hasrat terakhirnya untuk mendermakan wang simpanannya yang bernilai Rs 6.61 lakh (RM37,920) kepada mangsa serangan bom Pulwama. Wanita yang meninggal dunia Nandini Sharma itu meninggalkan wasiat untuk menggunakan wang simpanannya demi bangsa dan masyarakat. Sharma telah mengumpul jumlah itu dengan meminta sedekah di luar Kuil Mata Ambe di Bajrangarh di Ajmer. Dia mengamalkan sikap mendepositkan wang setiap hari di bank dan telah menamakan dua pemegang amanah untuk melindungi akaunnya selepas dia meninggal dunia. Pemegang amanah menunggu saat yang tepat untuk mendermakan wang tersebut selepas kematiannya. Selepas serangan Pulwama berlaku, mereka tersentuh dengan tragedi itu dan memutuskan untuk mendermakan wang tersebut kepada mangsa dan menjadi sebuah penghormatan kepada Sharma. Keadaan kenderaan yang terbakar semasa serangan bom berlaku di Pulwama. - Foto AP "Para pemegang amanah datang ke pejabat pentadbiran daerah pada Rabu dan menyatakan keinginan mereka untuk menderma wang kepada dana bantuan ketua menteri," kata pemungut Ajmer, Vishwa Mohan Sharma. "Walaupun simpanannya datang daripada meminta sedekah, dia mahu ia berguna kepada negara. "Oleh itu, kami berasa adalah baik untuk menggunakannya bagi waris mangsa yang terbunuh dalam serangan Pulwama," kata Sandeep Gaur, salah seorang pemegang amanah. Berita itu tersebar meluas dalam kalangan penganut di kuil yang mengadakan upacara doa khas buat mendiang. "Penganut yang selalu berkunjung ke kuil itu sentiasa melayan dan memberikan sedekah kepadanya termasuk makanan dan pakaian. "Mereka yang biasa ke kuil menyedari dia sering memasukkan wang yang dipungut (ke dalam bank)," kata salah sami di kuil itu. - India Times