suria

Menang hadiah utama cabutan bertuah, pelajar pilih wang tunai berbanding kereta Lamborghini

Lamborghini Gallardo Spyder 2010.

MEMILIKI kereta mewah menjadi idaman setiap orang.

Tom Curtis,24, bertuah terpilih memenangi hadiah utama cabutan bertuah, sebuah kereta Lamborghini Gallardo Spyder 2010.

Namun Curtis membuat pilihan untuk menerima wang tunai 50 ribu pound (RM265,977) daripada memandu 'supercar' dengan kelajuan 200km/j itu.

Pelajar Universiti Newcastle dalam bidang perniagaan itu merancang untuk menggunakan wang tersebut bagi membantu industri muzik dan mengasah bakat artis muda.

Tom Curtis

Menurut Curtis dari North Shields: "Saya mengetahui menang ketika sedang berjalan-jalan dengan keluarga pada malam sambutan Tahun Baru.

"Saya ada berbincang dengan ayah mengenai perancangan 2019 dan mahu mempunyai syarikat sendiri, tetapi saya tidak ada wang.

"Menakjubkan, lebih kurang sejam kemudian, saya menerima berita bahawa menang Lamborghini. Saya memang tidak percaya pada mulanya.

"Apabila mengetahui saya juga boleh memilih untuk menerima wang tunai, saya tidak fikir dua kali kerana ia peluang terbaik untuk melebarkan impian saya mempunyai perniagaan sendiri.

"Kakak saya seorang pemuzik. Muzik selalu menjadi minat utama dan saya mahu membuka syarikat bagi menguruskan bakat-bakat muda dan membantu mereka mempromosikan dengan lebih baik dalam dunia digital," jelasnya.

Tambah Curtis, dia bukan pemain bola sepak yang menerima gaji tinggi.

"Jadi jalan terbaik adalah memilih wang tunai. Jika saya berusia 50 tahun, mungkin keputusan saya berbeza," katanya.

Curtis menyertai cabutan bertuah selepas menjadi pelanggan tetap sebuah kedai vape NPZ yang menganjurkan peraduan itu. -metro.co.uk

Lamborghini, cabutan bertuah

Artikel Lain