SEORANG penumpang yang cuba membuat rampasan kapal terbang dalam penerbangan dari Bangladesh ke Dubai ditembak mati oleh pasukan khas, awal pagi Isnin. Suspek yang membawa pistol dibunuh oleh pasukan keselamatan yang menyerbu pesawat itu, sejurus ia membuat pendaratan kecemasan di Chittagong. Kesemua anak kapal dan penumpang seramai 148 orang dalam penerbangan Biman Bangladesh Airlines BG147 juga berjaya dibawa keluar dengan selamat. Pihak berkuasa masih lagi sedang menyiasat motif tindakan lelaki berusia 25 tahun itu. "Kami cuba menahan dan minta dia menyerah diri tetapi dia enggan sebelum membuat keputusan untuk menembaknya. "Dia rakyat Bangladesh, kami hanya temui pistol bersamanya," ujar wakil tentera negara itu. Menurut laporan, suspek yang disyakki mempunyai penyakit mental membuat permintaan untuk bercakap dengan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang kini sedang berada di Chittagong. Krew pesawat dikatakan mengesyakki sesuatu apabila suspek mula berkelakuan pelik dan memberi amaran untuk merampas pesawat. Mereka kemudiannya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Amanat, Chittagong sebelum pihak berkuasa cuba menahan suspek. Penerbangan itu sepatutnya tiba di Dubai pada petang Isnin selepas berlepas dari Dhaka, Ahad malam.- BBC.