PERCUBAAN mencuri sebuah kereta Ferrari gagal gara-gara kumpulan perompak tidak tahu cara mengendalikannya. Menurut laporan Mail Online, sekumpulan pencuri bertindak merompak sebuah kediaman di Streetly, West Midlands pada Selasa lalu. Mereka berjaya membawa lari beg, jam tangan dan perhiasan mewah dari rumah tersebut. Namun mereka datang semula ke rumah itu setelah menjumpai kunci kereta Ferrari di dalam beg yang mereka curi. Mereka kemudian memecah masuk garaj dan cuba mengeluarkan Ferrari 488 yang dianggarkan bernilai £200,000. Tindakan mereka dirakam oleh kamera keselamatan di rumah tersebut yang mana pencuri dilihat memasuki garaj dan cuba mengundur Ferrari itu ke luar. Bagaimanapun mereka terpaksa meninggalkan kenderaan itu di tepi jalan dan membatalkan hasrat memandunya. "Kami sedang berada di rumah nenek dan tiba-tiba jiran kami menelefon suami saya. Dia beritahu bahawa kereta Ferrari kami berada di tepi jalan dan cermin depannya sudah pecah," kata penghuni kediaman, Toni-Leigh Evans. "Saya bersama suami kemudian segera kembali selepas menghantar anak-anak di rumah nenek. "Setelah kembali ke rumah, kami lihat kerosakan pada pintu depan rumah. Pencuri berusaha masuk tapi tak berjaya kerana kami memasang kunci anti-pencuri," tambah ibu kepada dua anak itu. "Mereka kemudian memecah cermin tepi dan memanjat masuk. Mereka menjumpai kunci pendua kereta itu di dalam beg yang mereka curi dalam rumah," kata Evans. "Mereka cuba mengundurkan kereta dari tempat parkir, tapi setelah berjaya keluar, nampaknya pencuri bodoh itu tidak tahu cara mengendalikannya," tambahnya. Evans berkata kumpulan itu meninggalkan kesan darah di tempat kejadian yang diharapkan dapat membantu polis menangkap pelaku. Dia juga bersyukur kerana saat kejadian, dia dan anak-anaknya tidak berada di dalam rumah. "Kami bernasib baik kerana tak ada dalam rumah. Saya rasa pencuri itu tak akan peduli nasib kami jika kami berada di sana," kata ibu yang sedang hamil tujuh bulan itu. Setelah kejadian itu, Evans memutuskan untuk tidak kembali ke rumah itu dan mencari tempat tinggal lain. Polis West Midlands mengesahkan bahawa mereka sedang menyiasat kes pencurian itu. "Polis sedang menyiasat kecurian di sebuah hartanah di Bridle Lane, Streetly, yang terjadi pada 19 Februari lalu sekitar pukul 6.30 petang, di mana sejumlah beg dan perhiasan diambil," kata jurucakap polis. "Sebuah Ferrari juga hampir dicuri, tetapi pelaku meninggalkannya di tengah jalan," tambahnya. -Mail Online