PASUKAN keselamatan di Hanoi, Vietnam kini siap siaga untuk menerima kehadiran tetamu asing sempena persidangan kedua antara pemimpin Amerika Syarikat dan Korea Utara. Bagaimanapun, persiapan itu bagaikan tercabar apabila tiba-tiba berdepan dengan pemimpin tertinggi dua negara berkenaan yang hadir lebih awal daripada jadual. Susulan itu, dua lelaki ditahan untuk disoal siasat kerana berpenampilan umpama Kim Jong Un dan Donald Trump. Pengajuk Jong Un yang dikenali sebagai Howard X dan Russel White yang kelihatan sama seperti Trump ditemui sedang 'bermesyuarat' di Hanoi pada Jumaat lalu. Sidang kemuncak yang akan dihadiri Trump dan Jong Un dijadualkan berlangsung pada 27 dan 28 Februari ini di ibu negara Vietnam itu. Bimbang situasi bertukar kecoh, kira-kira 10 pegawai polis tiba di stesen televisyen tempatan di mana kedua-dua lelaki berkenaan sedang ditemu bual. Pegawai keselamatan itu kemudiannya meminta supaya sesi temu bual itu dihentikan serta merta, selain mengarahkan supaya keduanya tidak lagi mengambil peluang untuk muncul di media dan jika ia berulang mereka akan berdepan tindakan diusir dari negara itu. "Kesimpulannya mereka minta kami tidak melakukan aksi sebagai pengajuk pemimpin berkenaan dan jika tidak mematuhinya kami akan diusir," kata Howard X kepada AFP selepas keterangannya dirakam dan dibebaskan polis Vietnam. Malahan Howard percaya susulan insiden itu, polis berpakaian preman akan sentiasa memantau pergerakan mereka berdua. Kedua-duanya juga diingatkan untuk berjalan sekitar bandar itu dengan jadual perjalanan dan pemandu pelancong yang diperakui sahaja. Bagaimanapun, Howard yang juga warga Hong Kong mempertahankan kehadirannya secara sah di negara itu dan tidak akan meninggalkan Hanoi selagi tidak diusir. Sementara itu, White yang tampil umpama Trump pula berkata, kehadiran mereka untuk memberi tekanan kepada usaha nuklear Korea Utara. "Kami mahukan keamanan dan melalui perbincangan, dialog ini diharap ia dapat direalisasikan," katanya. Sebelum dibawa ke balai polis, keduanya telah dikerumuni pihak media di Hotel Metropole dan Opera House. Kedua-duanya juga berhasrat melawat salon urut, bermain golf dan mencuba menu tempatan.-JakartaPost