SEORANG taikun berlian meninggal selepas mengalami serangan jantung semasa melakukan pembedahan membesarkan alat kelaminnya. Ehud Arye Laniado, 65, berkunjung ke sebuah pusat kesihatan tidak dikenali di Avenue des Champs-Elysees, Perancis pada Sabtu lalu. Namun berlaku komplikasi semasa prosedur tersebut dilakukan. Media Belgium melaporkan pakar berlian itu mengalami serangan jantung semasa cecair disuntik pada alat kelaminnya. Syarikat Laniado, Omega Diamonds yang berpangkalan di Antwerp (Belgium) mengucapkan selamat tinggal kepada ahli perniagaan berjiwa besar itu. Laniado dipercayai maut selepas mengalami serangan jantung ketika prosedur tersebut dilakukan. Salah seorang rakannya berkata dia amat mementingkan penampilannya dan bagaimana penerimaan orang lain terhadapnya. Mereka turut memberitahu Laniado dikenali sebagai 'The Argentinian' kerana dia kelihatan seperti seorang penari tango. Laniado juga dikatakan memiliki sebuah penthouse termahal di Monaco dipercayai bernilai 30 juta pound sterling (RM162 juta). Taikun berlian itu yang memulakan kariernya di Afrika pada awal 20-an, tidak pernah melanjutkan pengajian ke universiti dan mula bekerja sebagai tukang urut di sebuah hotel di Tel Aviv. Berlian paling mahal pernah dihasilkan syarikat Laniado dikenali sebagai Blue Moon of Josephine, dijual kepada ahli perniagaan Hong Kong, Joseph Lau Luen Hung pada harga 36.8 juta pound (RM198 juta) pada 2015. - Metro.co.uk