PESAWAT Ethiopian Airlines yang terhempas pada pagi Ahad yang mengorbankan 159 orang, merupakan model yang sama dengan pesawat Lion Air yang terbabit nahas mengakibatkan 189 orang terbunuh tahun lalu. Pesawat Boeing 737 Max itu berlepas dari Addis Ababa, ibu negara Ethiopia pada kira-kira 8.22 pagi waktu tempatan. Ia kemudian terputus hubungan dengan menara kawalan enam minit selepas berlepas. ARTIKEL BERKAITAN: Tiada yang terselamat nahas pesawat Ethiopian Airlines Pesawat itu membawa 149 penumpang dan lapan anak kapal, dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bole ke Nairobi, ibu negara Kenya. Model Boeing itu, dilaporkan baru berusia empat bulan, sama dengan pesawat yang turut terbabit nahas, di Indonesia pada Oktober tahun lalu. Penerbangan Lion Air dari Jakarta, ibu negara Indonesia ke Pangkal Pinang terhempas ke laut, hanya kira-kira 11 minit selepas berlepas. Pasukan penyiasat mendapati jawatankuasa keselamatan kebangsaan negara itu telah memberi amaran bahawa pesawat tersebut tidak 'layak terbang' sehari sebelum nahas. Boeing itu mengalami isu teknikal semasa penerbangan dari Bali ke Jakarta, sehari sebelum kemalangan yang meragut kesemua penumpang dan anak kapal itu. - Mirror UK