suria

Lelaki bergelut rampas senjata pengganas NZ meninggal dunia

Naeem Rashid maut ketika cuba menghalang pengganas daripada terus melakukan serangan.

SEORANG lelaki yang terbunuh selepas bergelut merampas senjata daripada pengganas yang menyerang masjid di Christchurch, New Zealand dikenal pasti sebagai Naeem Rashid.

Rashid cuba merampas senjata dibawa Brenton Tarrant, dalang utama serangan kejam di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood ketika jemaah sedang solat Jumaat.

Pemuda tersebut mengalami kecederaan serius dalam pergelutan itu.

Selepas dikejarkan ke hospital, Rashid menghembuskan nafas terakhirnya pada Jumaat malam.

Rashid yang berasal dari Abbottabad, Pakistan bekerja sebagai guru di Christchurch.

Anak lelaki Rashid, Talha, 21, turut maut dalam insiden itu.

Syed Mazharuddin, saksi yang melihat Rashid bergelut dengan pengganas tersebut.

Seorang saksi Syed Mazharuddin menceritakan detik Rashid cuba menghalang Tarrant dan berjaya merampas salah satu senjata dibawa pengganas itu sebelum melarikan diri.

Dia memberitahu akhbar New Zealand Herald bahawa Rashid yang sering menjaga masjid tersebut cuba menghalang pengganas berkenaan.

"Hero (Rashid) itu cuba mengejar tetapi dia tidak terjumpa picu (senjata)... dia lari dibelakangnya tetapi terdapat individu lain menunggu di dalam kereta dan dia melarikan diri," katanya.

Syed Mazharuddin berkata salah seorang rakannya turut maut dalam serangan itu manakala seorang lagi rakannya mengalami kecederaan.

"Saya berlari menyelamatkan diri dan polis datang tetapi mereka tidak benarkan saya berpatah balik. Jadi saya tidak dapat menyelamatkan kawan saya, dia mengalami pendarahan teruk," katanya. - Metro.co.uk

Naeem Rashid, Christchurch, masjid

Artikel Lain