suria

Identiti mayat pertama mangsa serangan pengganas NZ dikenal pasti

Daoud ditembak mati ketika cuba menyelamatkan diri.

MAYAT pertama serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand dikenal pasti sebagai Daoud Nabi, datuk kepada sembilan cucu.

Warga emas berusia 71 tahun itu ditembak mati bersama dengan beberapa jemaah lain, kata anaknya Omar Nabi.

Daoud antara 49 mangsa yang maut dalam serangan kejam itu ketika jemaah sedang menunaikan solat Jumaat.

Omar berkata dia bergegas ke masjid tersebut apabila dimaklumkan mengenai berita mengejutkan itu.

Omar turut mendedahkan bapa gemar membantu mangsa pelarian yang datang ke New Zeland.

Daoud Nabi.

"Dia membantu sesiapa sahaja mangsa pelarian. Sama ada anda dari Palestin, Iraq atau Syria, dia individu pertama yang akan menghulurkan bantuan," katanya.

Menurut Omar, bapanya menubuhkan sebuah masjid di Christchurch dan dilantik menjadi Presiden Persatuan Rakyat Afghanistan.

Omar berkata mereka sekeluarga berpindah ke New Zealand pada 1980 ketika tentera Soviet menyerang Afghanistan.

Pengganas Brenton Tarrant, 28, didakwa di mahkamah pada pagi Sabtu atas pertuduhan membunuh.

Tarrant ditahan bersama dua suspek lain dan bahan letupan turut dipasang pada kenderaan tetapi berjaya dimatikan.

Serangan tersebut disifatkan sudah dirancang dari awal. - Metro.co.uk

Artikel Lain