suria

Kasih seorang abang... Lelaki terkaya Asia selamatkan adik dari dipenjara, tolong bayar hutang

Mukesh Ambani (kiri) duduk bersama isterinya, Nita (dua,kiri) serta Anil Ambani (dua, kanan) dalam satu majlis. -fotoGetty

PERSETERUAN epik antara keluarga konglomerat India, Ambani bersaudara, memasuki babak baharu.

Mukesh Ambani, yang kini jauh lebih kaya jika dibandingkan dengan Anil Ambani, bertindak membantu adiknya itu yang berdepan hukuman penjara jika tidak mampu menyelesaikan hutangnya dalam tempoh sebulan.

Adik-beradik lelaki ini menjadi kaya-raya selepas bapa mereka meninggal dunia pada 2002 tanpa meninggalkan wasiat. Mereka bersaing untuk menguasai Reliance Industries.

Pada 2005, kedua-dua mereka sepakat untuk membahagikan Reliance Industries, yang ketika itu merupakan perusahaan paling bernilai di India.

Laporan Bloomberg menunjukkan, Mukesh, 61, kini menyandang gelaran sebagai lelaki terkaya di Asia dengan kekayaan AS$54.3 bilion.

Sementara adiknya hanya memiliki kekayaan AS$300 juta.

Memetik AFP, Mukesh dan keluarganya tinggal di bangunan pencakar langit mewah yang mempunyai 27 tingkat.

Kediaman itu dipercayai dibina dengan kos lebih dari AS$1 bilion sehingga menjadikannya sebagai rumah termahal di dunia.

Mukesh Ambani memegang gelaran Lelaki Terkaya Asia. -foto REUTERS

Jauh berbeza dengan adiknya, Reliance Communications yang diusahakan oleh Anil memiliki hutang sekitar AS$4 bilion.

Perusahaan itu telah bergelut dengan hutang dan lebih parah arahan pembayaran hutang dikeluarkan oleh mahkamah pada Februari lalu.

Kesengsaraan Anil tidak berhenti di situ. Mahkamah Agung memutuskan agar Anil dipenjara jika gagal membayar AS$80 juta kepada Ericsson Swedia.

Bagaimanapun Reliance Communications pada Isnin mengejutkan seluruh negara apabila menyatakan semua hutangnya telah diselesaikan.

Rupa-rupanya abangnya yang telah melunaskan hutang-hutang yang ditanggung perusahaan adiknya.

"Terima kasih dan tulus ikhlas kepada abang saya, Mukesh dan kakak ipar saya yang dihormati, Nita, kerana menyokong saya pada masa-masa yang sukar ini dan menunjukkan betapa pentingnya menjaga nilai kekeluargaan dengan memberikan sokongan yang tepat pada masanya," katanya dalam satu kenyataan dari Reliance Communications.

"Saya dan keluarga bersyukur dan tersentuh dengan tindakannya," kata Anil dalam satu kenyataan.

Namun, tidak jelas sama ada pembayaran hutang itu adalah satu hadiah atau pinjaman.

Anil juga berharap untuk melepaskan perusahaan menara telekomunikasi dan bisnes spektrumnya kepada saudaranya.

Untuk rekod, ini bukan pertama kali dua adik-beradik ini dilihat berbaik. Merea pernah datang bersama dalam acara memperingati bapa mereka pada 2011.

Lima tahun kemudian, Mukesh memicu perang harga untuk sektor telekomunikasi India melalui jaringan selular Reliance Jio sehingga mengheret Reliance Communications milik Anil ke situasi sukar ketika ini.

Mukesh pernah menjadi tajuk berita utama dunia mengenai perkahwinan mewah anak perempuannya, Isha Ambani, yang menjemput penyanyi Beyonce. -BBC

Artikel Lain