SEBUAH syarikat keselamatan mengawal masjid secara percuma bagi umat Islam menjalani ibadat dengan selesa. Syarikat Keselamatan J4 bertindak selepas pengganas supremasis kulit putih membunuh 50 orang di dua buah masjid di Christchurt, New Zealand Jumaat lalu. Tiga orang beruniform dan seorang memakai pakaian berwarna putih bediri di luar pintu Masjid Baitul Aman, London petang Jumaat. Jewel Choudhury, 42, memberitahu Metro.co.uk: "Saya mendengar apa yang berlaku di New Zealand tentang masjid yang diserang. Saya mempunyai syarikat keselamatan saya, jadi saya menghantar beberapa orang supaya orang yang datang ke masjid boleh berdoa dengan yakin dan aman. "Kita harus bekerjasama sebagai satu komuniti dan sebuah negara selepas sesuatu seperti itu berlaku. "Saya bimbang tentang respon pada mulanya, tetapi mereka sangat gembira. Apabila anda melihat wajah orang ramai, mereka mempunyai keyakinan yang tinggi kerana mereka masuk ke dalam dengan keadaan selesa dan itu membuatkan saya berasa sangat baik. "Apabila lihat ada pengawal keselamatan, mereka datang dan berjabat tangan." Sementara itu Choudhury, dari Tower Hamlets, berkata: "Jika mampu, saya akan pergi ke seluruh UK dan melakukan ini (mengawal) di masjid, kuil dan gereja. "Kita hidup bersatu dan sebagai sebuah pasukan, kita patut tolong antara satu sama lain. "Jumaat depan, saya mungkin akan tolong di masjid lain. Saya harap dapat melakukan lebih lagi, tapi saya cuba yang terbaik," ujarnya.