suria

Susu kering, ibu rayu sumbangan susu badan wanita lain di Facebook untuk diberi kepada anaknya

Pek-pek susu badan yang disumbangkan oleh wanita lain untuk diberikan kepada anak lelaki Campbell, Hayden. -foto Caters

SEORANG wanita terkejut apabila menyedari dia tidak mampu menyusukan bayi lelakinya, Hayden, yang kini berusia enam bulan.

Selain masalah pengeluaran susu badan yang sedikit, jalur kulit yang menghubungkan lidah bayi itu ke bahagian bawah mulutnya juga tidak normal.

Jadi, Joanne Campbell, 32, dari Sydney, Australia, menggunakan Facebook dalam usaha mencari ibu-ibu yang sanggup mendermakan susu mereka.

Selepas menemui puluhan kumpulan sokongan dalam talian, Campbell nekad untuk mengelak daripada memberikan susu formula kepada Hayden yang akan membuatkan bayinya itu sakit perut.

Hayden kini minum sehingga satu liter susu ibu yang diberikan secara percuma oleh ibu-ibu dalam talian.

Setiap hari Campbell akan memandu untuk mengambil susu-susu ibu yang telah dibekukan dan dia sangat bahagia dengan pengalaman itu.

Campbell sanggup buat apa sahaja untuk anaknya, Hayden membesar dengan sempurna. -foto Caters

Suri rumah itu berkata: "Saya dapat tahu tentang kumpulan-kumpulan Facebook untuk golongan ibu memberi sumbangan susu mereka sebelum saya bersalin. Saya harap dapat menyumbangkan susu saya untuk bantu orang lain, tetapi saya tak sangka saya sendiri yang memerlukannya.

"Selepas menulis posting pertama tentang keperluan susu untuk Hayden, saya dibanjiri dengan mesej daripada wanita yang sedia membantu.

"Saya pergi ke rumah seorang wanita untuk mendapatkan bekalan susu beku pertama dan sejak itu telah menggunakan susu tujuh lagi penderma dalam usaha untuk tidak memberikan Hayden susu formula.

"Hayden tidak sesuai dengan produk berasaskan formula kerana dia akan sakit perut jadi saya lakukan apa saja untuk mengelakkannya.

"Saya menyimpan susu ibu dalam peti sejuk dan mencairkannya setiap hari apabila Hayden perlukannya iaitu kira-kira satu liter sehari.

"Sesetengah orang rasa jijik dan tak faham mengapa perlu kongsi susu badan manusia lain tetapi sekarang saya rasa ia normal.

"Saya percaya tiada ibu di Facebook yang akan mendermakan susu mereka jika ia boleh membahayakan bayi lain. Hayden telah mendapat banyak manfaat daripada susu wanita lain," katanya.

Campbell berkata, pasangannya, Adam Bahan, 31, juga menyokong kaedah pemakanan luar biasa itu.

"Hayden tidak dapat menghisap dengan betul dan saya diberikan satu pam oleh hospital supaya saya dapat memberinya makan dengan botol tetapi ia bermasalah.

"Bekalan saya sangat rendah pada ketika ini dan saya tak ada pilihan selain menggunakan susu formula sehingga saya menemui cara untuk mencari penyumbang susu dalam talian.

"Ibu-ibu di Facebook menjadi sesuatu yang penting kerana tanpa mereka, Hayden masih sakit perut akibat susu formula.

"Pasangan saya, Adam, percaya saya tahu apa yang terbaik untuk Hayden jadi saya buat posting untuk cari penderma susu di Sydney dan selebihnya adalah sejarah," katanya.

Campbell mendakwa hospital di Sydney tidak menyediakan susu ibu untuk bayi kecuali mereka dilahirkan pramatang.

"Memang kita boleh mendapat akses melalui klinik dan hospital apatah lagi ia telah disaring, tetapi saya percaya dengan ibu-ibu yang saya temui dalam talian.

"Saya harap pada masa akan datang saya mempunyai bayi yang saya dapat menyusunya sendiri.

"Saya kini sedang memasukkan makanan pepejal dalam diet Hayden supaya dia tidak memerlukan susu badan yang banyak seperti sebelum ini tetapi saya masih menyimpan stok di peti ais kerana ia boleh bertahan selama berbulan-bulan," katanya. -MetroUK

susu ibu, kering, susu formula

Artikel Lain