suria

Pensyarah paksa pelajar tulis tesis untuk anak

Gambar sekadar hiasan.

SEORANG pensyarah universiti di Seoul, Korea Selatan memaksa pelajarnya membuat tesis untuk anak perempuannya bagi kemasukan sekolah perubatan pergigian elit.

Perkara tersebut didedahkan menerusi laporan kerajaan pada Selasa berhubung skandal terbaharu, membabitkan sistem pendikan yang kompetitif di Korea Selatan.

Pensyarah bergelar profesor yang mengajar di Universiti Sungkyunkwan di Seoul itu, membuatkan pelajarnya melakukan eksperimen selama tiga bulan, malah meminta mereka untuk membuat keputusan, sebelum anak perempuannya menerbitkan penemuan itu di dalam jurnal akademik di bawah namanya sendiri.

Anak pensyarah terbabit kemudian memasukkan tesis tersebut di dalam permohonan untuk kemasukan sekolah pergigian di Universiti Kebangsaan Seoul, sebuah institusi terkemuka di negara itu, bagi kemasukan tahun lalu.

Kementerian Pendidikan memberitahu, ia telah meminta pendakwa untuk menyiasat sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.

"Kementerian Pendidikan merancang untuk meminta pihak universiti menggugurkan profesor itu," kata seorang pegawai kepada AFP.

Siasatan mendapati profesor tersebut menyuruh salah seorang pelajarnya melakukan kerja sukarela selama 54 jam, menterjemahkan sebuah buku kepada tulisan braille menggunakan nama anak perempuannya, yang mana dia dibayar upah 500,000 won (kira-kira RM1,807).

Diberitahu bahawa anak pensyarah itu juga memenangi beberapa anugerah akademik untuk laporan penyelidikan yang sebenarnya dilakukan oleh pelajar ibunya.

Dilaporkan para pelajar universiti di negara itu sering terbabit dengan eksploitasi, termasuk terpaksa bekerja berjam-jam di makmal dan menjalankan tugas seperti menghantar pakaian untuk dicuci buat profesor mereka. - AFP

pensyarah, tesis

Artikel Lain