suria

AirAsia mohon maaf, henti kempen pengiklanan di Australia selepas didakwa papar iklan tak sensitif

Iklan turut ditampal pada bas-bas di bandar Brisbane. -foto Twitter @MelTankardReist

SYARIKAT penerbangan tambang murah AirAsia membuat permohonan maaf gara-gara satu kempen iklannya di Australia.

Iklan yang mengandungi ayat 'Get off in Thailand' itu disiarkan di sekitar bandar Brisbane untuk mempromosikan laluan penerbangan langsung ke Bangkok.

Collective Shout, pergerakan yang menentang eksploitasi wanita mendakwa iklan tersebut bertujuan untuk mempromosikan pelancongan seks di Thailand.

Menurut laporan UNAids, negara itu mempunyai lebih 123,530 pekerja seks.

Salah seorang ahli pergerakan itu, Melinda Liszewski melihat iklan berkenaan sewaktu dia berada di dalam bas sebelum membuat perkongsian di laman sosial.

Tweet mendakwa AirAsia mempromosikan pelancongan seks tular.

Dalam pada itu, jurucakap AirAsia memberitahu BBC bahawa mereka mengambil serius maklum balas wanita berkenaan.

"AirAsia mengambil maklum balas komuniti dengan sangat serius dan syarikat penerbangan ini dengan tulus meminta maaf atas sebarang kesulitan yang timbul baru-baru ini.

"AirAsia boleh mengesahkan kempen pengiklanan itu telah ditamatkan dan kami mengarahkan rakan media kami supaya pengiklanan dihapuskan secepat mungkin dari semua lokasi," ujar jurucakap itu.

Salah satu iklan berkenaan, dalam bentuk billboard turut kelihatan di Lapangan Terbang Brisbane. Di media sosial, penurunan itu disahkan sebagai satu keutamaan.

Bas-bas di sekitar bandar Brisbane juga ditampal dengan iklan tersebut yang bermula pada 18 Februari lalu.

Paparan skrin posting Kara Cook berhubung isu ini di Twitter.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Brisbane, Kara Cook, menyifatkan kempen itu sebagai satu penghinaan dan ia tidak sepatutnya muncul di bandar tersebut.

Dia membuat kenyataan itu menerusi laman Twitter miliknya sambil menyeru supaya Majlis Bandaraya Brisbane bertanggungjawab di atas iklan yang dipaparkan di bas mereka.

Sebagai respon balas, Majlis Bandaraya Brisbane berkata, Lembaga Piawaian Pengiklanan yang bertanggungajawab menerima iklan.

Malah, mereka mengarahkan supaya aduan dibuat kepada lembaga itu. - BBC.

AirAsia, iklan, Brisbane, sensitif

Artikel Lain