TUGAS yang senang dengan bayaran lumayan, siapa yang tak mahu? Terbaharu, NASA berkata pihaknya akan membayar £14,000 (RM74,939) kepada mana-mana individu yang sanggup berbaring di atas katil sambil menonton televisyen dan membaca buku selama dua bulan. Pemohon yang berjaya akan ditempatkan di satu tempat khas unutk menguji kesan penerbangan angkasa ke atas tubuh manusia. Kajian yang turut disertai Agensi Angkasa Eropah itu akan dilakukan di Pusat Aeroangkasa Jerman. Namun, salah satu syarat untuk permohonan berkenaan, anda haruslah tahu bertutur dalam bahasa Jerman. 24 sukarelawan akan dipilih dan mereka turut dinasihatkan supaya membuat permohonan untuk belajar secara dalam talian sepanjang terlibat dengan ujian itu. Selain itu, televisyen, buku dan aktiviti yang menyeronokkan turut disediakan sepanjang ujian tersebut. Menerusi ujian itu, katil akan diletakkan condong yang mana kaki akan berada lebih tinggi dari kepala untuk meniru kesan mikro graviti. "Penggunaan graviti palsu mungkin menjadi penyelesaian terbaik untuk perlindungan kesihatan manusia sewaktu pengembaraan ke angkasa," ujar saintis terlibat, Dr Edwin Mulder. Permohonan untuk menyertai eksperimen dengan bayaran lumayan itu akan ditutup pada 24 Mei ini dan ia dijangka bermula September depan. - Mirror.