SEORANG jejaka dari Coventry, England yang menyertai Daesh dilaporkan menjadi rakyat pertama negara itu yang dibunuh oleh kumpulan pengganas. Mohammed Ismail meninggalkan United Kingdom (UK) pada 2014 sebelum ke Syria sewaktu berusia 18 tahun untuk menjadi perisik. Dia diberi jolokan Osama bin Bieber kerana penampilannya yang muda dan remaja. Dia dikatakan sudah dibunuh pada 2016 selepas mendedahkan lokasi Nasser Muthana yang banyak merekrut pengganas kepada pasukan risikan barat, lapor The Sunday Times. Menurut salah seorang ahli Daesh yang enggan dikenali, Ismail dibunuh kerana belot kepada Muthana. "Mereka soal siasat dia, dia mengaku segalanya. Akhirnya dia dibunuh," ujar individu tersebut. Ismail sebelum ini dipercayai pernah tercedera sewaktu berperang di Syiria sebelum diberikan jawatan sebagai pegawai polis Daesh. Menurut sumber itu lagi, dia dibunuh di satu lokasi di Raqqa, namun kaedah pembunuhan lelaki itu tidak didedahkan. - The Indipendent.