PENGERUSI dan pemilik bersama syarikat penerbangan kedua terbesar di Rusia, Natalia Fileva meninggal dunia apabila jet peribadi yang dinaikinya terhempas dekat Frankfurt pada Ahad, menurut syarikat tersebut. Fileva, 55, adalah pemegang saham utama dalam S7, ahli syarikat penerbangan global bersekutu Oneworld dan salah seorang wanita terkaya di Rusia, dengan kekayaannya dianggarkan oleh Forbes berjumlah AS$600 juta. Epic-Lt, sebuah pesawat enjin tunggal yang direka untuk penerbangan persendirian terhempas ketika mendarat di lapangan terbang Egelsbach, menurut S7 yang juga dikenali sebagai Siberia Airlines, dalam satu kenyataan. Natalia Fileva. -fotoAP Jurucakap polis di Hesse, Jerman berkata pesawat enam tempat duduk dengan dua penumpang dan seorang juruterbang itu sedang dalam perjalanan dari Perancis ketika ia terhempas di Egelsbach dan terbakar. Pesawat persendirian itu terbang dari Cannes di Perancis dan hilang dari radar, menurut data dari pengesan penerbangan Flighradar24. Tiada maklumat serta-merta mengenai dua lagi individu dalam pesawat. Pihak berkuasa Rusia dan antarabangsa akan menyiasat kemalangan itu dan tiada maklumat mengenai puncanya setakat ini, menurut syarikat penerbangan itu, yang merupakan pesaing utama kepada syarikat utama, Aeroflot dari Rusia. "Pasukan S7 Group menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan orang-orang tersayang mereka," kata syarikat itu. S7 mempunyai 96 pesawat yang terbang ke 181 bandar di 26 negara, menurut laman web syarikat itu. -Reuters