MEGHAN Markle dan Putera Harry akhirnya berpindah ke Frogmore Cottage selepas proses pengubahsuaian bernilai 3 juta pound sterling selesai. Menariknya, pasangan diraja itu mendapatkan bantuan bekas penyanyi kumpulan Spice Girls, Victoria Beckham untuk menghias ruang kediaman baharu mereka. Victoria, 44, pernah menghadiri majlis perkhawinan pasangan diraja itu pada 19 Mei tahun lalu. Difahamkan Meghan membawa banyak poster yang pernah digunakan di kediamannya di Toronto ketika dia berlakon dalam siri Suits. "Dia mempunyai banyak memori di rumah itu dan mahu membawa sebahagian daripada perkakasan tersebut ke kediaman baharunya. "Dia juga mendapatkan bantuan Victoria mengenai idea untuk menghias ruang kediaman tersebut. Kediaman baharu Meghan dan Putera Harry. "Orang ramai fikir Vicky Charles diupah untuk mengubah suai rumah itu tetapi Victoria sebenarnya yang banyak memberi idea kepada pasangan itu," kata sumber. Meghan dijangka bersalin bulan ini. Kediaman tersebut sebelum ini digunakan sebagai kemudahan kakitangan keluarga diraja itu. Meskipun proses pengubahsuaian itu menelan belanja besar, kediaman tersebut sebenarnya dibina untuk dijadikan taman oleh Ratu Charlotte pada 1801. Ratu Victoria juga pernah bersarapan pagi di rumah tersebut pada 28 Jun 1875. Bagaimanapun dia tidak begitu menyukai keadaan sekitarnya kerana sering terjumpa banyak katak besar yang disifatkannya sebagai menjijikkan. - Mirror.co.uk