GAMBAR seekor penyu bertelur di atas jalan raya tular di media sosial, baru-baru ini. Kejadian itu berlaku apabila 'sarangnya' kini dalam pembinaan menjadi sebuah lapangan terbang di salah sebuah daerah di Maldives. Insiden itu dikongsi seorang pemilik Twitter, Adam Nasym dan mendapat liputan meluas, demikian dipetik laporan Sinar Harian. Gambar penyu bersama tiga telurnya menimbulkan perdebatan mengenai kos pembangunan infrastruktur alam sekitar di Maldives. Kebanyakan penyu kembali ke pantai sama di mana ia bertelur sebelum ini. Seekor penyu betina boleh bertelur di antara empat hingga enam kali di sepanjang musim bertelur. Biasannya selang masa di antara masa peneluran dengan lain adalah lapan hingga 15 hari bergantung kepada jenis penyu. Kemudian selepas dua hingga lapan tahun, penyu tadi akan berhijrah semula untuk bertelur di pantai sama tempat ia bertelur. Difahamkan, Pulau Maafaru di utara Noonu Atoll adalah tapak 'bersarang' untuk spesis terancam. Walaupun pembinaan lapangan terbang tahun lepas, penyu terus datang ke darat untuk 'bersarang', demikian menurut pihak Majlis Maafaru. Penyu dalam foto itu dilaporkan sihat dan selamat kembali ke laut dibantu penduduk tempatan pada Selasa lalu. Bagaimanapun, media tempatan melaporkan, penyu itu ditemui mati pada pagi Ahad. Seorang doktor haiwan, Dr Claire Lomas memberitahu Maldives Independent, kemungkinan penyu dalam foto itu terganggu oleh perubahan di kawasan tersebut. "Sukar untuk saya katakan dari gambar mengapa penyu itu meletakkan telur di tengah jalan tetapi ia telah diketahui membuang telur yang dihasilkan jika merasakanya terganggu semasa proses itu. "Pembangunan manusia hampir selalu memberi kesan kepada alam sekitar dan saya fikir penting untuk menjadi perhatian serta mengambil langkah untuk meminimumkan gangguan dan melindungi kawasan untuk spesis seperti penyu," katanya. Lapangan terbang Maafaru dijangka siap Ogos ini, manakala kawasan pantai bakal dibangunkan untuk lokasi perhotelan dan pusat peranginan bagi tumpuan pelancongan. Penyu dilindungi di Maldives pada 1994 apabila lima spesis ditemui di negara itu.