suria

Lelaki potong jari kerana tersilap undi parti

Jari pengundi yang dicalit dengan dakwat.

SEORANG lelaki warga India terdesak memotong jari telunjuknya selepas tersilap mengundi parti pada pilihan raya negara itu.

Menerusi sebuah video yang tular di media sosial, Pawan Kumar memberitahu, dia keliru dengan simbol-simbol pada mesin undi elektronik dan mengundi parti Perdana Menteri, Narendra Modi dan bukannya parti lawan di Uttar Pradesh pada Khamis lalu.

Berasa terganggu dengan kesilapan itu, Kumar bertindak memotong jarinya menggunakan pisau pemotong daging sebaik pulang ke rumah.

Walaupun undi dibuang secara elektronik di pusat mengundi, jari telunjuk setiap pengundi dicalitkan dengan dakwat agar mereka tidak datang membuat undian kali kedua.

Video kedua pula menunjukkan pisau pemotong daging di atas tanah di luar tandas, dengan Kumar berdiri sambil memegang jarinya yang dibalut.

"Saya mahu undi untuk (simbol parti) gajah tapi terundi bunga," katanya menerusi video tersebut. - AFP


jari, potong, undi

Artikel Lain