suria

Mayat dalam peti sejuk sah ibu 'ghaib' setahun lalu

MJ Mustafa hilang sejak setahun lalu.

IDENTITI salah satu mayat yang ditemui disimpan di dalam peti sejuk sebuah rumah dikenal pasti sebagai Mihrican Mustafa.

Mihrican, 38, atau dikenali sebagai Mary-Jane atau MJ, hilang secara tiba-tiba sejak Mei tahun lalu.

Beberapa saksi yang tinggal di sebuah pangsapuri yang terletak di Vandome Close, Canning Town, timur London, lokasi mayat Mihrican ditemui berkata, mangsa berkawan dengan pesalah seks yang tinggal di blok tersebut.

Menurut mereka, lelaki tersebut hilang apabila polis datang menggeledah rumahnya pada Jumaat lalu.

Ibu kepada tiga orang anak itu dilaporkan hilang pada 10 Mei 2018 dan pelbagai usaha dilakukan untuk menjejaki mangsa tetapi tidak berhasil.

Dia tinggal di kawasan Canning Town.

"Kami yakin salah satu mayat wanita yang ditemui adalah MJ. Sehingga hari ini kami belum mengetahui bila dia meninggal dunia.

"Bedah siasat sedang dijalankan. Saya merayu kepada sesiapa sahaja yang mengenali MJ atau ada maklumat mengenai apa yang berlaku sila tampil bagi membantu siasatan," kata jurucakap polis, DCI Simon Harding.

Polis percaya pangsapuri di Vandome Close sering dikunjungi penagih dadah.

Scoland Yard berkata pasukannya menjumpai mayat wanita selepas dipanggil ke sebuah pangsapuri di Canning Town kira-kira pukul 11.45 pagi Jumaat lalu.

Polis menahan dua lelaki berusia antara 34 dan 50 tahun bagi membantu siasatan. - Metro.co.uk

mayat, peti ais, wanita hilang

Artikel Lain