PASANGAN suami isteri yang sudah berkahwin selama 45 tahun meninggal dunia hanya dibezakan beberapa minit sahaja. Clair 'Cos' Vance, 75, dan isterinya Jeanne, 70, tidak boleh hidup tanpa satu sama lain, dedah anak perempuan mereka, Debbie Pike. Kedua-duanya meninggal dunia pada Ahad di Erie, Pennsylvania. Cos meninggal dunia di hospital UPMC Hamot manakala isterinya pula menghembuskan nafas terakhirnya di rumah penjagaan Elmwood Gardens. Pike berkata dia duduk di tepi katil bapanya sambil memegang telefon bimbit di telinganya ketika Jeanne merayu agar dia terus kuat untuk hidup. "Dia (Jeanne) asyik kata Cos, jangan tinggalkan saya," kata Pike. Jeanne berada di rumah penjagaan Elmwood Gardens selama setahun dan bertarung dengan penyakit kencing manis dan gangguan pulmonari kronik. Setiap hari Cos akan menemani isterinya di rumah penjagaan tersebut sama seperti kehidupan mereka sejak lebih empat setengah dekad yang lalu. Pike berkata mereka akan menonton televisyen bersama dan kerap berbual. Pasangan itu berkahwin pada 1974 selepas abang Jeanne yang sering memancing dengan Cos memperkenalkan mereka berdua dan mereka kemudiannya bercinta. Cos dan Jeanne membesarkan tiga orang anak iaitu John Vance, Pike dan Sherry Dane. Pada minggu lalu, Cos mengalami demam selesema dan dimasukkan ke hospotal sebelum keadaannya menjadi kritikal. "Ayah meninggal kira-kira pukul 6.30 petang Ahad lalu," kata Pike. Dia kemudian memandu ke Elmwood Gardens untuk memaklumkan berita sedih itu kepada ibunya. Namun mereka menjumpai Jeanne sudah tidak bernyawa di dalam biliknya. - Metro.co.uk