SEBUAH pesawat komersial membawa lebih 130 penumpang berdepan detik cemas apabila terbabas dari landasan sebelum meluncur ke dalam sebatang sungai. Insiden dipercayai berlaku di Florida, Amerika Syarikat (AS). "Pesawat komersial itu kini terapung dalam sungai. Responder pertama telah berada di lokasi kejadian dan semua penumpang berjaya diselamatkan," kata Datuk Bandar Jacksonville Lenny Curry. Bagaimanapun, jumlah yang cedera dalam insiden itu tidak dapat dipastikan ketika ini. Penerbangan komersial AS yang menggunakan pesawat jenis Boeing 737, telah dilihat meluncur dari landasan sebuah lapangan terbang sebelum terjatuh ke dalam Sungai St. Johns pada kira-kira pukul 9.40 malam waktu tempatan (0140 GMT Sabtu). Menurut jurucakap Stesen Pangkalan Udara Jacksonville, pesawat itu dipercayai terbabas ketika cuba melakukan pendaratan sebelum dilihat meluncur ke dalam sungai. Pejabat Syerif Jacksonville berkata pesawat itu kini terapung di kawasan air cetek dan tidak tenggelam. Pada masa ini, tidak dapat dipastikan sama ada punca insiden itu adalah serupa dengan apa yang menyebabkan nahas dua pesawat jenis Boeing 737 berlaku beberapa bulan lepas. - BERNAMA