suria

Jokowi tinjau Gunung Mas, anggap paling sesuai ganti Jakarta

Jokowi (tiga dari kiri) ketika meninjau sekitar kawasan Gunung Mas di Kalimantan Tengah sebagai antara lokasi untuk menggantikan ibu negara Indonesia.

PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo memaklumkan Kabupaten Gunung Mas di Kalimantan Tengah (Kalteng) adalah lokasi paling sesuai untuk dijadikan ibu negara baharu berdasarkan keluasan wilayah tersebut.

Kenyataan itu dibuat ketika lawatan beliau ke Kelurahan Tumbang Taleken, Kecamatan Manuhing, Kabupaten Gunung Mas untuk melihat lokasi baharu yang akan menggantikan Jakarta.

Menurutnya yang lebih mesra disapa Jokowi, ia bagaimanapun perlu dikaji dalam pelbagai aspek

"Persediaan infrastruktur perlu dibuat dari awal, selain mempertimbangkan isu sosial politik, sosiologi masyarakat dan perkara lain," katanya.

Jelasnya lagi, terdapat kelebihan dan kekurangan lokasi pertama di Bukit Soeharto, Balikpapan, Kalimantan Timur (Kaltim) dengan Kabupaten Gunung Mas tersebut.

"Balikpapan masih berdepan isu banjir, manakala Kalimantan Tengah pernah dipilih bekas presiden Soekarno. Ia pasti mempunyai sebab tersendiri. Tidak mungkin keputusan itu dibuat tanpa hujah data dan fakta," tambahnya.

Jokowi menjelaskan, sebuah pasukan akan dihantar ke lokasi terbabit untuk melakukan tinjauan.

Maklumat yang dikumpulkan itu kemudiannya akan diserahkan kepada beliau sebelum diputuskan.

"Saya turun sendiri ke lokasi terbabit untuk mencari feel kerana mudah untuk membuat keputusan kelak," ujarnya. - Kompas.com



Jokowi, Gunung Mas, Jakarta

Artikel Lain