suria

Paksa mangsa makan najis, polis tahan 2 lelaki

POLIS Tamil Nadu menahan dua lelaki kerana disyaki memaksa lelaki Dalit, kasta paling rendah dalam masyarakat India supaya memakan najis dan memancut air kencing ke arah mangsa.

Kejadian di kampung Thirumandurai, daerah Thiruvarur itu melibatkan tiga lelaki dan setakat ini, polis masih mencari seorang lagi suspek kes berkenaan.

Mangsa, P Kollimalai telah membuat laporan polis mendakwa dirinya dipaksa memakan najis oleh tiga lelaki yang dikenali sebagai Shaktivel, Rajesh dan Rajakumar yang juga sebahagian komuniti Kallar.

Menerusi laporannya, mangsa yang berusia 43 tahun itu mendakwa dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas bekerja apabila diserang tiga lelaki terbabit.

Katanya, dia menjadi sasaran kumpulan itu kerana berlaku pertembungan antara dua pihak ketika berlangsungnya festival di sebuah kuil kira-kira tiga tahun lalu.

Berdasarkan aduannya juga, polis bertindak menahan Sakthivel dan Rajes sebelum ditahan reman untuk dihadapkan ke mahkamah. Bagaimanapun, seorang lagi suspek masih bebas.

Suspek sedang menunggu tarikh perbicaraan dan akan dihadapkan dengan empat pertuduhan jenayah. - IndiaToday 

Dalit, najis

Artikel Lain