SEORANG vlogger cuba memakan seekor sotong kurita hidup menerusi penstriman video secara langsung. Bagaimanapun, tindakan itu mengundang padah apabila haiwan laut menggunakan tentakelnya untuk menyedut muka gadis tersebut. Gadis itu yang dikenali sebagai 'seaside girl Little Seven' menerusi platform video popular di China, Kuaishou, didakwa merancang untuk memakan sotong kurita di hadapan kamera. Menerusi rakaman itu, dia kedengaran memberitahu peminatnya "betapa kuatnya ia menyedut" sebelum menyedari dia sebenarnya tidak boleh menanggalkan haiwan itu. Dalam keadaan yang mencemaskan itu, dia menjerit kesakitan dan memberitahu tidak dapat menanggalkannya. Sotong kurita itu kemudian berjaya dilepaskan selepas ditarik dengan kuat dan mendapati terdapat kesan merah pada pipinya. Sambil memegang sotong kurita itu, dia kemudian memberitahu peminatnya untuk memakan haiwan tersebut menerusi video seterusnya. - odditycentral