suria

6 terbunuh, 200 cedera rusuhan di Jakarta

Keadaan rusuhan yang berlaku di Jakarta, Indonesia.

SATU rusuhan berlaku di ibu negara Indonesia, Jakarta pada pagi Rabu mengakibatkan enam maut setakat ini.

Datuk Bandar Jakarta, Anies Baswedan berkata, seramai enam orang terkorban setakat pukul 9 pagi.

"Enam orang maut setakat ini. Dua di Hospital Tarakan dan selebihnya di hospital Pelni, Budi Kemulyaan, Cipto Mangunkusumo dan RSAL Mintoharjo," katanya.

"Secara keseluruhan, enam maut dan 200 mengalami kecederaan setakat 9 pagi," tambahnya.

Dalam kenyataannya, Anies memberitahu beliau telah pergi ke Hospital Tarakan di Jakarta Pusat untuk memeriksa penunjuk perasaan yang cedera.

"Hospital Tarakan menerima bilangan pesakit terbesar pada pagi ini. Kira-kira 80 penunjuk perasaan yang cedera dibawa pada pagi ini. 

"Sementara itu, kira-kira 70 penunjuk perasaan yang cedera dimasukkan ke Hospital Pelni di Jakarta Barat," katanya.

Anies menyeru penunjuk perasaan supaya memelihara ketenteraman awam dan keselamatan bagi mengelakkan lebih banyak kematian dan kecederaan.

"Sila protes dengan cara yang damai dan teratur. Saya juga menggesa anggota penguatkuasa undang-undang untuk mengendalikan sekatan bagi mengelakkan sebarang konflik yang tidak diingini dengan penunjuk perasaan," katanya. - The Jakarta Post / Asia News Network

rusuhan, Jakarta

Artikel Lain