ISTERI bekas Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu di Hospital Universiti Nasional, kata Kementerian Luar Singapura (MFA), dalam satu kenyataan media. Kristiani Herrawati, 66, atau lebih dikenali sebagai Ibu Ani Yudhoyono yang merupakan bekas Wanita Pertama Indonesia dari tahun 2004 hingga tahun 2014 dilaporkan menghidap leukemia dan menerima rawatan di hospital terbabit sejak 2 Februari lalu. "Bekas Wanita Pertama Indonesia, Ibu Ani Yudhoyono, isteri bekas Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono meninggal dunia pagi tadi di Hospital Universiti Nasional di Singapura. "Kerajaan Singapura menyampaikan ucapan takziah kepada Bapak Yudhoyono dan keluarga serta seluruh warga Indonesia," kata MFA. Susilo semalam sempat mengucapkan terima kasih di atas kiriman doa dan sokongan yang diberikan oleh teman-teman buat isterinya. "Saya telah menonton video yang menyampaikan doa dan sokongan buat Ibu Ani. "Saya amat berterima kasih dan merasa sungguh terharu apabila menonton video tersebut terutama pada ketika isteri saya bergelut dengan penyakit kansernya," tulis Susilo di laman Facebook. Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada tahun 1976 dan mempunyai dua orang anak.- Agensi