BANGUNAN tertinggi di Chicago, The Willis Tower menawarkan panorama yang cukup mengasyikkan buat pengunjung. Di tingkat 103, ia menyediakan lantai kaca, Skydeck bagi membolehkan pengunjung melihat permandangan dengan cara berbeza. Pada minggu ini, ia tiba-tiba retak sewaktu sedang dipenuhi dengan orang ramai sekaligus menimbulkan panik. Saksi, Jesus Pintado berkata, dia cukup takut sewaktu kejadian berlaku. "Ada seorang wanita dengan dua kanak-kanak. Sewaktu lantai kaca retak, mereka kelihatan pucat dan ketakutan," ujarnya. Menurut jurucakap menara itu, bukan lantai kaca yang retak sebaliknya ia hanyalah lapisan luar yang meliputi kaca itu sahaja. Menara itu dibuka pada 1974 manakala tarikan lantai kaca mula diperkenalkan pada 2009. - Daily Star.