suria

Bakal pengantin 'cair', batal perkahwinan selepas bekas kekasih dikejarkan ke hospital akibat mogok lapar kerana putus cinta

'Usaha' Burman melakukan mogok lapar telah menyelamatkan hubungan cintanya yang terjalin selama lapan tahun.

MELAKUKAN mogok lapar mungkin berkesan untuk mendapatkan semula cinta yang hilang.

Itulah yang dilakukan seorang lelaki yang sanggup berkhemah di luar rumah bekas teman wanitanya dan enggan makan selagi dia tidak bersetuju untuk berkahwin dengannya.

Lelaki berkenaan, dari wilayah Bengal Barat India, Ananta Burman, telah menjalinkan hubungan stabil dengan kekasihnya selama lapan tahun.

Tetapi baru-baru ini, teman wanitanya, Lipika, memutuskan semua akses komunikasi, enggan menjawab panggilan telefonnya dan mesej WhatsApp, serta menyekatnya di media sosial.

Burman menganggap ada sesuatu yang tidak kena dengan wanita itu, jadi dia menyiasat dan mendapat tahu bahawa keluarga Lipika bersetuju untuk mengahwinkannya dengan lelaki lain.

Menyedari bahawa dia masih mempunyai sedikit masa sebelum kehilangan Lipika selama-lamanya, Burman memutuskan untuk melakukan sesuatu yang agak keterlaluan untuk mendapatkannya semula.

Dia berkhemah di luar rumah gadis itu di Dhupguri dan melakukan mogok lapar.

Tindakan protes Burman terus menarik perhatian orang yang lalu-lalang, apatah lagi dia memegang sepanduk tulisan tangan yang dibaca 'kembalikan lapan tahun saya'.

Burman dan Lipika dilaporkan sudah berkahwin.

Apabila orang ramai tahu tentang nasibnya, mereka mula berkumpul di sekelilingnya.

Protes Burman yang dibuat atas nama cinta itu tersebar di sekitar masyarakat setempat dan tidak lama kemudian keluarga calon suami Lipika tiba di tempat kejadian, bersama dengan polis untuk menyuruh dia beredar.

Burman yang sangat kecewa kerana cintanya ditolak enggan berganjak atau menamatkan mogok laparnya tetapi selepas beberapa jam, kesihatannya semakin merosot dan dia dikejarkan ke hospital.

Bagaimanapun, dia masih enggan makan menyebabkan penduduk tempatan campur tangan, meminta Lipika dan keluarganya menurut permintaannya sebagai satu cara menyelamatkan nyawa Burman.

Mereka akhirnya datang ke hospital, membatalkan perkahwinan yang dirancang dan segera mengatur perkahwinan antara Burman dan Lipika. -Oddity

mogok lapar, kekasih, kahwin

Artikel Lain