suria

Jutawan AS dipenjara 9 tahun, didakwa punca lelaki gali kubu rahsia maut dalam kebakaran

Khafra (kiri) ditemui dalam keadaan rentung hanya beberapa langkah dari laluan keluar.

JUTAWAN muda Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun kerana kesalahan mengakibatkan kematian seorang lelaki yang membantunya membina kubu bawah tanah di kediamannya di kawasan Maryland.

Proses menggali terowong kubu itu untuk melindungi dirinya daripada ancaman nuklear.

Bagaimanapun berlaku kebakaran yang menyebabkan Askia Khafra, 21 maut di tempat kejadian.

Daniel Beckwitt, 28 berhadapan hukuman penjara maksimum 30 tahun untuk kesalahan berkenaan. Bagaimanapun Hakim Margaret Schweitzer menetapkan hukuman 21 tahun penjara sebelum ia dikurangkan kepada hanya sembilan tahun.

Pada April, juri memutuskan Beckwitt bersalah atas kesalahan membunuh dalam kejadian pada September 2017.

Ketika perbicaraan, pendakwa raya Daerah Montgomery, Marybeth Ayres mendakwa Beckwitt secara semberono membahayakan nyawa Khafra, malahan kaedah terowong itu digali juga telah mengabaikan aspek keselamatan.

Bagaimanapun, peguambela tertuduh, Robert Bonsib dalam hujahnya mempertahankan anak guamnya dengan berkata kebakaran itu satu kemalangan, bukan jenayah.

Dalam kejadian itu, anggota bomba menemui Khafra dalam keadaan bogel dan rentung di ruang bawah tanah kediaman jutawan itu, hanya beberapa langkah ke laluan keluar.

Beberapa jam sebelum kebakaran itu berlaku, Khafra telah mengirim mesej menerusi telefon kepada Beckwitt memberi amaran kerana ada bau asap di terowong itu.

Bagaimanapun, Beckwitt tidak memberi sebarang maklum balas sehingga selepas lebih enam jam apabila dia mengakui berlaku masalah gangguan elektrik di situ.

Beckwitt tidak mengarahkan Khafra supaya meninggalkan terowong itu, sebaliknya hanya meminta di menutup semua sistem litar.

Hanya apabila kebakaran itu berlaku, Beckwitt menjerit meminta tolong jirannya dan cuba menyelamatkan Khafra tetapi gagal akibat asap tebal.

Proses perbicaraan selama hampir dua minggu itu  tidak memanggil Beckwitt untuk memberi keterangan.  Tertuduh dalam tahanan polis sebaik pihak juri membuat keputusan kes berkenaan.

Mengikut keterangan kes, Khafra mengenali Beckwitt secara online, malahan projek pembinaan kubu itu dirahsiakan hinggakan mangsa menganggap ia berlaku di Virginia bukannya Maryland.

Selain itu, Beckwitt menggunakan spoofing internet untuk memastikan telefon Khafra menunjukkan terowong itu digali di Virginia.-SCMP


 
Beckwitt, Khafra, kubu, Maryland

Artikel Lain