SEORANG ibu mendedahkan bahawa dia dan suaminya telah bertindak memulangkan semula bayi kembar yang diambil sebagai angkat di sebuah rumah jagaan, sebaik sahaja dirinya hamil. Bercakap kepada Daily Mail, pustakawan sekolah di UK, Ali Sanders mengakui dia dan suaminya Michael sanggup melakukan apa saja dalam proses mengambil anak angkat pada 2014, selepas doktor mengesahkan mereka tidak subur. Selepas mendapat khabar bahawa mereka akan menerima bayi kembar lelaki berusia lapan bulan, pasangan itu menghabiskan masa selama enam minggu untuk mengenali bayi mereka termasuklah membuat lawatan ke rumah jagaan, menghiasi pusat jagaan dan melakukan persiapan besar-besaran untuk membawa pulang mereka ke rumah. Tetapi Sanders berkata sepanjang proses itu, dia berasa ada sesuatu yang tidak kena. Dia menceritakan bagaimana pada hari mereka membawa pulang dua anak kembar itu, naluri keibuannya tidak dirasai walaupun dia melihat suaminya sudah memberi sepenuh kasih sayang terhadap mereka. “Saya masih ingat ayah Michael bertemu dengan mereka. Dia sangat gembira. Semua orang gembira, ibu bapa saya juga teruja,” katanya. Sanders memberitahu Daily Mail dia bagaimanapun tidak dapat merasakannya, malah rasa kaku dan kosong. “Rasanya seperti saya hanya berlakon dengan sesuatu yang tidak benar. “Apa yang lebih memburukkan keadaan Michael mudah dan cepat merasai ikatan dengan mereka. Dia sudah rasa dirinya seorang bapa,” katanya. Selepas dipujuk suaminya, Sanders berkata dia memutuskan untuk berjumpa dengan doktor, di mana dia menerima khabar mengejutkan. Dia disahkan hamil, selepas diberitahu secara jelas sebelum ini bahawa dia tidak dapat mengandung. Disebabkan terkejut, Sanders dan Michael memanggil pekerja sosial mereka dan akhirnya proses pengambilan anak angkat itu dibatalkan. Dua bayi itu dihantar pulang rumah jagaan mereka. Sanders percaya dia tidak dapat menyayangi bayi kembar itu kerana dirinya sudah hamil. “Saya fikir ini melibatkan fizikal. Bagaimana saya tidak mampu bermesra dengan si kembar itu sama sekali di luar karektor saya. “Saya fikir rasa bersalah itu takkan hilang selamanya, saya telah mengecewakan bayi-bayi yang telah pun dikecewakan sebelum ini.” Laporan Daily Mail menyatakan pasangan ini tidak lagi dibenarkan berhubung dengan kembar berkenaan, yang dikhabarkan telah diambil sebagai anak angkat oleh pasangan lain. Selepas empat tahun, Sanders kini mempunyai Jacob yang berusia tiga tahun dan dijangka akan mendapat seorang lagi bayi pada bulan Oktober. -Newshub