suria

Vatican akan buka dua kubur rungkai misteri kehilangan budak hilang sejak 1983

Selepas 36 tahun, kehilangan Emanuela Orlandi masih jadi misteri. -foto Getty/SkyNews

VATICAN akan membuka dua buah kuburnya bulan ini untuk membantu menyelesaikan kes remaja yang hilang selama 36 tahun.

Emanuela Orlandi, anak perempuan pekerja Vatican, hilang pada 1983, pada usia 15 tahun selepas tidak pulang dari kelas muzik.

Pada Selasa, Vatican berkata keputusan untuk membuka kubur tersebut dibuat sebagai menuruti permintaan keluarganya.

Jurucakap Alessandro Gisotti berkata saudara mara Emanuela, peguam keluarga akan hadir ketika kubur dibuka pada 11 Julai di Tanah Perkuburan Teutonik yang terletak dalam hartanah Vatican.

Dalam satu laporan oleh The Tablet, pembukaan kubur itu adalah hanya 'fasa pertama kepada siri-siri pemeriksaan yang sudah dijadualkan'.

Fasa itu akan membawa kepada 'penilaian untuk menentukan tarikh penemuan dan perbandingan DNA'.

Abang Emanuela, Pietro Orlandi memberitahu agensi berita ANSA: "Selepas 35 tahun kurang mendapat kerjasama, permulaan siasatan merupakan satu kejayaan penting."

Keluarga dan saudara mara mahu mencari jawapan kepada kehilangan Emanuela. -foto Reuters/SkyNews

Musim panas lalu, keluarga Orlandi menerima petunjuk tanpa nama di mana Emanuela mungkin ditanam.

Petunjuk adalah berbentuk surat yang dihantar kepada peguam keluarga dan menunjukkan gambar kubur di Perkuburan Teutonik, meminta mereka untuk melakukan carian di kawasan tersebut.

Perkuburan Teutonic terseletak bersebelahan dengan Saint Peter's Basilica. Ia menyimpan mayat pengawal-pengawal Swiss yang meninggal dunia mempertahankan Kota Vatikan ketika melawan pasukan kerajaan baharu Itali pada tahun 1870.

Ia juga merupakan tempat penguburan khusus bagi anggota institusi keagamaan Jerman di Rom.

Sejak kehilangannya, saudara-mara Emanuela sering muncul di televisyen dan di akhbar-akhbar bagi mencari jawapan.

Kebanyakan orang Itali percaya bahawa remaja itu dibunuh, mungkin berkaitan skandal kewangan yang menyelubungu gereja Katolik pada awal tahun 1980-an. Bapanya bekerja di Bank Vatican.

Teori lain ialah dia diculik dalam cubaan untuk mendapatkan kebebasan seorang lelaki bersenjata kerana cuba membunuh Paus John Paul II.

Emanuela akan berumur 51 tahun jika dia masih hidup hari ini. -skynews

Vatican, kubur, misteri, hilang

Artikel Lain