PULUHAN bangunan termasuk hotel, sekolah dan rumah ibadat mengalami kerosakan akibat gempa bumi yang melanda pulau peranginan popular Bali pada awal pagi Selasa. Gempa bumi bawah laut berukuran 6.1 magnitud itu menggemparkan penduduknya termasuk pelancong yang bergegas keluar dari bangunan sebaik merasakan gegaran kuat pada pagi semalam. "Gegaran kuat dapat dirasakan ketika sedang menikmati sarapan di hotel dan kami dinasihatkan keluar dari bangunan," kata pelancong warga Australia, George Stephen. Penduduk Bali melihat kerosakan yang berlaku di pulau peranginan itu pada awal pagi Selasa. Bagaimanapun hospital utama di Denpasar, hotel dan sekolah telah diarahkan supaya dikosongkan sebagai persiapan gempa susulan. Malahan, lokasi yang menjadi tumpuan pelancong juga turut terjejas dengan kebanyakannya mengalami keretakan dengan serpihan batu bertaburan di jalan. Bagaimanapun, lapor Agensi Pemantauan Gempa Bumi Eropah (EMSC), tiada amaran tsunami dikeluarkan oleh Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang berpangkalan di Hawaii. Pusat gempa dilaporkan berukuran 102 kilometer (km) barat daya dari Denpasar dengan kedalaman 100 km, kata EMSC. Penyiasatan Geologi Amerika Syarikat mencatatkan magnitud awal gempa pada ukuran 5.7. Beberapa pengguna Twitter yang berada di Bali turut memuatnaik pengalaman masing-masing ketika gempa berlaku. Agensi Meteorologi Geofisika Indonesia dalam kenyataan menyebut, gempa itu turut dirasai di bandar-bandar lain di Indonesia seperti Lombok dan Jawa. Negara Indonesia kerap mengalami gempa bumi yang kadangkala menyebabkan tsunami, kerana negara berkenan terletak pada lingkaran api Pasifik yang seismik aktif.- 7news.com.au