JANIN yang sudah diawet ditemui di dalam sebuah tandas pesawat. Penemuan objek misteri itu terbongkar sebaik sahaja pesawat dari Cuba itu mendarat di Lapangan Terbang Barajas, Madrid pada 3 Julai lalu. Ujian sedang dilakukan untuk mengesahkan sama ada objek itu adalah janin manusia atau sebaliknya. Namun penyiasat mengesyaki ia adalah janin kera. Janin itu dipercayai disembunyikan dan dibalut dengan sehelai kain sebelum ditinggalkan di dalam tandas. Pihak berkuasa Sepanyol telah menyoal siasat krew kabin yang mendakwa mereka tidak pasti bagaimana janin itu boleh berada di dalam pesawat berkenaan. Polis turut diberikan senarai penuh penumpang untuk memulakan siasatan. Pada Mac 2012, dua warga Cuba-Amerika ditahan di Lapangan Miami kerana menyeludup masuk dua janin di dalam bagasi mereka. Menurut laporan, janin manusia berusia 20 minggu itu digunakan untuk upacara pemujaan dan ilmu hitam. - Metro.co.uk