suria

Mayat pekerja pasar raya ditemui selepas hilang hampir 10 tahun, rupa-rupanya...

Mayat Larry ditemui di dalam sebuah lubang dekat belakang peti penyejuk di sebuah pasar raya lama.

SEORANG pekerja di sebuah pasar raya dipercayai meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang antara rak di belakang peti penyejuk ketika waktu rehat.

Namun mayatnya hanya ditemui selepas hampir 10 tahun insiden itu berlaku.

Penyiasat mengenal pasti mayat sebagai Larry Ely Murillo-Moncada, 25, yang dilaporkan hilang oleh ibu bapanya pada November 2009 di Council Bluffs, Iowa Amerika Syarikat.

Mayat Larry ditemui pada Januari oleh pekerja yang mengalihkan rak dan peti penyejuk di dalam pasar raya lama, No Frills.

Difahamkan Larry mungkin menjerit meminta pertolongan tetapi suaranya tidak kedengaran kerana bunyi bising kompresor peti penyejuk tersebut.

Pihak berkuasa percaya mayat Larry mungkin berada di dalamnya selama tujuh tahun sebelum pasar raya tersebut ditutup sepenuhnya pada 2016.

Mayat Larry disahkan selepas ujian DNA yang dilakukan sepadan dengan kedua ibu bapanya, lapor CNN.

Jurucakap polis Council Bluffs berkata mayatnya ditemui di dalam lubang sedalam 45 sentimeter antara peti penyejuk dan dinding.

Bekas pekerja pasar raya itu turut mendedahkan ramai pekerja selalu pergi ke sana untuk bersembunyi jika mahu 'curi tulang'.

Penyiasat percaya Larry terjatuh ke dalam lubang itu dan terperangkap.

Bunyi bising kompresor mungkin menyebabkan jeritan Larry meminta tolong tidak didengari. - Metro.co.uk

mayat, jatuh lubang, pasar raya

Artikel Lain