suria

Rancangan banduan lari gagal, pakai topeng menyamar anak perempuan terbongkar!

Gambar yang diedarkan pihak pentadbiran penjara kepada umum berkaitan rancangan da Silva untuk melarikan diri.

KETUA samseng yang kini menjalani hukuman penjara cuba memboloskan diri dengan menyamar sebagai anak perempuannya.

Rancangan itu dibuat ketika remaja itu melawat bapanya di penjara.

Bagaimanapun, penyamaran Clauvino da Silva itu mendatangkan curiga ketika melangkah keluar pintu utama penjara Gericino di barat Rio de Janeiro.

Menurut pegawai penjara itu, wajah gementar banduan yang juga dikenali sebagai 'Shorty' itu menyebabkan pengawal penjara punca penyamarannya terbongkar.

Siasatan awal mendapati, penjenayah itu merancang untuk meninggalkan anak gadisnya yang berusia 19 tahun di dalam penjara itu.

Setakat ini, polis masih lagi menyiasat kemungkinan peranan yang dimainkan remaja itu dalam kejadian pada Sabtu lalu.

Setiausaha pentadbiran penjara Rio mengedarkan gambar menunjukkan da Silva memakai topeng silikon yang iras wajah anak perempuannya, rambut palsu, jeans ketat dan kemeja-t merah jambu dengan imej kartun.

Turut disebarkan video di mana da Silva menanggalkan topeng berkenaan dan juga baju yang dipakai sebelum menyebut nama sebenarnya.

Pihak berkuasa negeri itu juga memaklumkan da Silva adalah pemimpin kumpulan penjenayah di Brazil yang terlibat dalam kegiatan dadah.

Susulan kegagalannya melarikan diri dari penjara, da Silva telah dipindahkan ke unit yang kawalan keselamatannya lebih ketat, selain dikenakan tindakan disiplin.- indianexpress.com

da Silva, Brazil, banduan

Artikel Lain