MENANGGUNG kesakitan dan kehilangan kerja akibat kehilangan deria rasa selepas gigi bongsunya dicabut membolehkan ketua cef ini memperoleh pampasan sebanyak $105,000 (RM318,583). Warga Australia, Pawel Gajewksi yang bekerja di Kelab Tippling di Singapura telah bertindak menyaman doktor gigi, Lee Tong Lynn. "Sepatutnya ia prosedur yang mudah sebaliknya bertukar kepada sesuatu yang malang hingga memberi kesan kepada kerjaya seorang cef," kata Timbalan Pendaftar, Hairul Hakkim dalam penghakimannya pada Selasa. Kes berkenaan adalah yang pertama dilaporkan melibatkan tuntutan susulan kesakitan yang ditanggung akibat masalah gigi bongsu yang mencecah $30,000 (RM91,023). Kejadian berlaku pada 23 April 2013 apabila Gajewski menemui Dr Lee untuk mencabut gigi bongsunya, bagaimanapun berlaku komplikasi ketika prosedur berkenaan hingga mengakibatkan cef berusia 32 tahun itu cedera pada saraf lidahnya. Akibat kecederaan itu, Gajewski tidak dapat menjalankan tugas sebagai cef kerana tidak dapat merasa juadah yang dimasak. Menurut Hairul Hakkim, peluang untuk pulih adalah tipis. Gajewski bekerja sebagai cef profesional sejak berusia 19 tahun di beberapa restoran terkemuka di seluruh dunia seperti Noma di Copenhagen, Guy Savoy dan Le Atelier di Paris. Susulan kejadian malang itu, Gajewski meletak jawatan dari Kelab Tippling pada Disember 2015 dan pulang ke Melbourne sebelum memulakan perniagaan khidmat rundingan bagi pelanggan yang berhasrat membuka restoran pada Februari 2018. Gajewski memperoleh $75,000 (RM227,559) kerana kehilangan punca pendapatan seperti mana hujah peguamnya, Kuah Boon Theng dan Samantha Oei. Menerusi prosiding itu juga cef berkenaan mendapat $2,066 (RM6,268) untuk perbelanjaan perubatan dan pengangkutan.-TheStraits Times/Asia News Network