DIVISYEN Anti-Penyeludupan Manusia Thailand menerima laporan berkaitan kewujudan laman media sosial yang menjalankan kegiatan perniagaan menjual bayi. Siasatan awal mendapati, bayi yang ditawarkan itu adalah anak yang dilahirkan secara luar nikah. "Jika laporan yang diterima itu benar, kegiatan itu adalah kes penyeludupan manusia yang serius," kata Timbalan Ketuanya, Kolonel Mana Klipsattabut. Bagaimanapun, katanya, setakat ini tidak jelas sama ada laman Facebook yang menjalankan kegiatan itu. Pasukan penyiasat mendapati sekurang-kurangnya satu laman web terlibat dalam penjualan bayi, dan ia telah diarahkan ditutup. Menurut polis, ada laman Facebook yang mengiklankan bayi bagi menarik perhatian ramai untuk mengambil mereka sebagai anak angkat. Iklan itu didedahkan menerusi akaun Facebook dengan nama "DOKJIK V.10" di mana gambar bayi perempuan berusia dua bulan yang tertera diambil dari laman web lain dan ia dikatakan akan dijadikan anak angkat dan telah 'ditempah'. Posting itu bagaimanapun telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen yang mengecam perbuatan itu. "Ada yang berpandangan, lebih mudah mengambil anak angkat menerusi urusniaga berbanding jual beli kucing dan anjing," kata pentadbir laman Dokchik V10. Komen salah seorang wanita yang mengandung tiga bulan menarik perhatian apabila dia meluahkan perasaannya yang belum bersedia untuk memiliki anak sendiri. Tolong bantu saya hubungi sesiapa yang berminat untuk menjadikan bayi saya sebagai anak angkat, saya risau kerana pengguguran bayi adalah satu dosa," katanya. Sementara itu, Menteri Pembangunan Sosial dan Keselamatan Sumber Manusia, Chuti Kraiiksh berkata, kegiatan penjualan bayi sama sekali dilarang kerana ia menyalahi undang-undang/ Jika bersabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda 60,000 baht (RM8,100).-Bangkokpost